Sunday, 10 April 2011

Rencana - Usaha – usaha Penerapan Nilai Murni dalam Masyarakat.

Usaha – usaha Penerapan Nilai Murni dalam Masyarakat.
Oleh : Mohammad Ainol Bin Mohd Asri

Masyarakat yang mengamalkan nilai – nilai murni dalam kehidupan seharian adalah masyarakat yang bertamadun. Hal ini dibuktikan oleh Syed Naquib al - Attas yang menakrifkan tamadun sebagai pencapaian tahap tatasusila dan kebudayaan yang tinggi dan luhur oleh masyarakat. Ironinya , negara kita sudah pun mengecapi kemajuan , namun disebabkan kealpaan mereka mengejar meterialistik pengamalan nilai – nilai murni kini kian luntur. Jika perkara ini dibiar berlarutan , semestinya akan memberi implikasi buruk kepada keharmonian masyarakat dan kestabilan negara kelak. Oleh itu , kita perlulah berganding bahu untuk mengimplimentasikan usaha – usaha untuk menerapkan kembali pengamalan nilai – nilai murni dalam kalangan masyarakat.

Penerapan nilai – nilai murni harus dimulakan dari rumah. Ibu bapa sewajarnya menjadi entiti misali dan menggunakan autoriti mereka kepada anak – anak dalam menjadi muaddib untuk menyemai nilai – nilai murni dalam diri mereka dari sejak kecil kerana hendak ” melentur buluh biarlah dari rebungnya ” . Tamsilnya , ibu bapa boleh menunjukkan nilai kasih sayang mereka kepada anak – anak melalui luangan masa bersama mereka untuk beriadah atau melakukan perbincangan dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Jika kita mempraktikkan nilai ini semestinya anak – anak kita akan melakukan perkara yang sama kepada kita ketika mereka dewasa kelak. Oleh itu , kita sebagai ibu bapa , janganlah alpa dengan tanggungjawab kita dan janganlah begitu ghairah mengejar keuntungan duniawi. Ingatlah ! ibu bapa umpama pencanting keperibadian anak – anak seperti mana sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud :

" Setiap bayi yang dilahirkan itu dengan fitrahnya. Hanya ibu bapanya yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi."

Keluar awal pagi , pulang lewat malam sudah menjadi norma masyarakat kita pada era globalisasi ini terutamanya penduduk - penduduk perumahan di bandar. Setiap saat adalah ” emas ” bagi mereka kerana mereka lebih mementingkan wang daripada keadaan sekeliling mereka. Sikap sebegini mampu merenggangkan silaturrahim antara ahli keluarga dan jiran tetangga kita sekaligus mereka akan melabelkan kita sebagai kera sumbang. Dalam konteks ini , ahli rukun tetangga di sesebuah perumahan perlulah menjalankan aktivi - aktiviti kemasyarakatan yang boleh mengukuhkan silaturrahim antara jiran - jiran di kawasan perumahan tersebut.Contohnya mengadakan aktiviti gotong - royong membersihkan kawasan perumahan atau bekerjasama dalam sesuatu majlis kenduri - kendara. Aktiviti ini mampu mengeratkan ukhuwah persaudaraan masyarakat berbilang kaum dikawasan tersebut kerana melalui aktiviti sebegini kita akan mendapat nilai bekerjasama, tolong - menolong dan hormat - menghormati. Secara komprehensifnya , usaha sebegini tidak akan menjadi jika tidak ada semangat daripada semua jiran tetangga kerana ” tanpa semangat tidak ada pekerjaan yang besar yang dapat dilakukan ” sebaliknya hanya angan - angan sahaja yang dikecapi.

"Pembangunan modal manusia menjadi sangat penting kepada negara pada masa depan dan mereka ini mestilah berkualiti, kualiti bukan sahaja dari segi pendidikan, kepakaran.. .tetapi juga dari segi nilai moral yang tinggi, bertanggungjawab dan mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan"

Itulah kata - kata Yang Amat Berhormat Mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke - 5 iaitu Dato’ Seri Abdullah Bin Ahmad Badawi sempena Majlis Pelancaran Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni Peringkat Kebangsaan pada tahun 2006. Inisiatif kerajaan mengadakan kempen ” Budi Bahasa dan Nilai - nilai Murni ” adalah usaha yang relaven dan efektif. Namun , kempen tersebut perlu dimapankan lagi agar masyarakat akan lebih tertarik untuk menghadirinya terutamanya golongan remaja. Kerjasama daripada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan , Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu berkerjasama bagai aur dengan tebing dalam mengadaptasi kempen tersebut selaras dengan kehendak masyarakat agar mendapat sambutan yang memberangsangkan misalnya mengadakan banyak aktiviti mengenai nilai - nilai murni dalam erti kata lain kempen tersebut bukan sekadar memberi ceramah atau nasihat mengenai cara - cara menerapkan nilai - nilai murni sebaliknya di isi dengan aktiviti - aktiviti santai yang boleh menerap nilai - nilai murni seperti kerjasama sepasukan , tolong menolong , dan sebagainya. Bukan itu sahaja , kempen tersebut perlulah menawarkan hadiah atau cenderamata bagi setiap aktiviti yang dipermainkan kerana cara ini boleh menjadi daya tarikan masyarakat untuk mengadiri kempen tersebut.

Di samping itu, di sekolah para guru juga perlu memainkan peranan yang signifikan dalam menerapkan nilai - nilai murni dalam kalangan para pelajar.Guru - guru sewajarnya tidak lebih menumpukan bidang akademik dan kokurikulum kepada para pelajar sebaliknya perlulah berlandaskan pada Falsafah Pendidikan Negara ( FPN) yang telah menggariskan empat mekanisme utama dalam usaha membentuk insan yang seimbang (syumul) dan harmonis .Empat mekanisme itu ialah keseimbangan dalam aspek jasmani , emosi , rohani , dan intelek.Justeru , aspek rohani juga perlu diberikan perhatian kerana aspek tersebut adalah sebahagian daripada impian falsafah tersebut. Maka , guru - guru perlulah menekankan matapelajaran agama yang relevan bukan sekadar untuk tujuan peperiksaan semata-mata kerana matapelajaran ini mampu memberi kesedaran kepada para pelajar mengenai kepentingan pengamalan akhlak mulia dan nilai - nilai murni dalam membentuk sahsiah diri yang hasanah. Begitu juga dengan matapelajaran Sivik , juga perlu ditekankan agar mereka tahu cara - cara bersosial dengan masyarakat luar dengan cara yang betul .

Deduksinya , walau apa pun usaha yang dilaksanakan untuk menerapkan nilai - nilai murni dalam kalangan masyarakat , nescaya tidak akan membuahkan hasil jika tidak ada sokongan majoriti daripada semua pihak.Kemajuan fizikal dan kebendaan sahaja tidak mencukupi bagi sesebuah negara yang maju , apakah gunanya jika ada infrastuktur kelas pertama jika rakyatnya pula bermentaliti kelas ketiga ?. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu ada kesedaran mengenai asal usul dan acuan kita sendiri yang boleh dilabelkan sebagai "Orang Timur". Orang Timur bukan hanya dikenali dengan penilaian rupa bentuk fizikal sahaja. Akan tetapi kita mewarisi satu khazanah paling berharga yang yang menjadikan kita sebagai masyarakat Timur yang berwibawa iaitu tinggi dengan nilai - nilai murni.

2 comments:

  1. Haaa ......... mintak komen positif !

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas petikan ini , sangat membantu :)

    ReplyDelete